Terlebih dahulu aku ingin memohon maaf jika nama kamu Azman. Tidak semestinya seorang yang bernama Azman itu adalah seorang 'Azman', dan jika kamu tidak faham apa yang aku maksudkan di sini teruskan membaca, ya?
1. Lelaki Melayu Terakhir.
Sudah semestinya 'Azman' ini adalah seorang Melayu, biasanya Melayu asli, tidak ada darah kaum lain, tetapi mungkin ada di antara mereka ini berdarah campuran. Tetapi kuranglah. Fenomena 'Azman' ini wujud dikalangan lelaki yang berumur awal hingga akhir 20an biasanya, dan akan bertukar menjadi seorang 'Azmi' (Cerita Lain) bila mencecah umur 30an.
2. Berambut Pendek
Aku jarang berjumpa Azman yang berambut panjang, kecuali mereka yang minatkan Innuendo. Selalunya mereka ini berambut pendek, dan masih gemar gaya-gaya rambut terpacak yang popular dahulu pada zaman awal 2000an. Rambut terpacak di sini aku maksudkan sebagai rambut yang dipacakkan menggunakan bahan penggayaan rambut yang bukan Tancho yang busuk itu, itu hanya terhad kepada Mat Rempit. Paling pantang jika disamakan dengan Mat Rempit, sebab pada mereka Azman ini sekurangnya satu tahap ke atas dari tahap sosial Mat Rempit. Aku misalnya tidak berada di dalam skala yang sama, tetapi cukup untuk seorang Azman untuk berada hanya satu tahap di atas Mat Rempit, sebab Melayu memang mudah puas hati. Baru-baru ini akibat penjenamaan Asmawi Ani, gaya rambut yang dahulunya dikaitkan dengan budaya kuning Skinhead memang amat popular, tetapi majoriti mereka masih mengamalkan penggayaan rambut pendek yang dicacakkan. Biasanya juga rambut tidak diwarnakan sebab Azman kan nama Melayu?
3. Fesyen Kemas Tapi Macam Tidak Kena.
Azman ini bergaya, tetapi tidak sebergaya Lelaki Metroseksual. Sebab Lelaki Metroseksual sering disalahanggap oleh golongan ini sebagai Lelaki Homoseksual, dan amat penting untuk seorang Azman untuk meyakinkan satu dunia bahawa dia ada lelaki Melayu tulen yang sejati. Akibat untuk menunjukkan imej professional, golongan ini gemar bertali leher (tali leher yang sedikit lebar dan bukan nipis agar tidak dikelirukan dengan Mat Indie), walaupun untuk makan tengahari, dan kemeja yang sama akan dibuka 3 butang dari bahagian kolar ketika keluar berseronok ketika waktu malam agar boleh menunjukkan imej bersantai. Sudah tentu kemeja adalah pakaian kegemaran, terutamanya yang berwarna putih ala Innuendo dan berwarna hitam ala Billy Zulkarnain. Selalunya akan dipadankan dengan seluar jeans yang bukan skinny (sekali lagi agar tidak dikelirukan dengan Mat Indie yang tidak bekerja dan tidak berwang) yang diseterika. Selalu dipadankan juga dengan cermin mata hitam, yang dipakai terutamanya ketika memandu, mengambil gambar untuk akaun Myspace/Facebook dan berjalan di waktu malam.
Walaupun berusaha untuk bergaya, dengan sentuhan ala-dandyism dan unsur-unsur Lelaki Itali (antara jenama yang sinonim ialah Gucci, Armani, Versace dan apa-apa yang dipakai Aznil Nawawi), masih kelihatan seperti sekurang-kurangnya ketinggalan 5 musim fesyen kontemporari. Akibatnya ramai yang jarang bereksperimentasi dengan fesyen, kecuali mereka yang berani yang akan mengenakan kemeja T polo Ralph Lauren berlogo besar yang bukan dengan logo satu kuda+pemain polo di dada, tetapi dengan DUA ekor kuda+pemain polo. Sila Google. Seperti yang disangkakan, kolar baju wajib dinaikkan sebab hawa di dalam kereta mereka ini terlampau sejuk dan mudah untuk melakukan aksi Gentel Kolar Untuk Menunjukkan Sifat Kerek.
Pengecualian dari gaya di atas ialah pakaian yang disertakan lambang-lambang penaja sukan lumba kereta F1, terutamanya yang berwarna merah dan hitam.
4. Tidak Suka Naik Bas.
Berbeza dengan Lelaki Ampang yang sukakan pengangkutan awam dan kereta Nasional, Azman ini menjadikan kereta BMW sebagai sasaran utamanya, terutamanya model terpakai 10 tahun ke atas, model yang dipasang di Malaysia (sebab murah). Biasanya akan diubahsuai untuk menampakkan ia bukan model terpakai, terutamanya dengan cermin kereta yang tinted melebihi piawaan yang dibenarkan JPJ/Puspakom. Ini untuk menampakkan gaya stealth agar tidak menampakkan raut muka ketika mendekati kumpulan-kumpulan liar Perempuan Ampang yang berjalan beramai-ramai ketika memandu sepanjang Jalan Dooraisamy.
Golongan-golongan Azman juga suka bergaul dengan Azman lain yang memandu jenis kereta yang sama. Akibatnya fenomena Kumpulan Kereta Sama wujud. Walaupun tidak terhad kepada kereta buatan luar (kita lebih biasa dengar tentang Kumpulan V6, Satria GTi dan Kenarianz misalnya) golongan ini memang suka berkumpul atas dasar memiliki kereta jenama yang sama. Perjumpaan biasanya akan diadakan di restoran-restoran mamak di kawasan separa eksklusif seperti Taman Tun Dr Ismail dan Danga Bay, di mana kereta-kereta akan 'dipamerkan' di tempat meletak kereta berhampiran restoran mamak. Perbincangan biasanya akan menjurus kepada topik strut bar, rim sukan, Paul Tan dan bengkel-bengkel boleh settle. Sebenarnya tiada beza dengan Kumpulan Kereta Sama yang lain, cuma jenama kereta sahaja yang berbeza.
Aku rasa aku boleh tulis satu nukilan penuh tentang Kumpulan Kereta Sama ini. Jadi, Cerita Lain ya?
5. Hobi Sama.
Kereta. Bola. Cara settle awek. Bola. Belasah orang akibat tidak puas hati. Mentaliti berkumpulan amat penting untuk kekal sebagai seorang Azman. Seorang Azman yang meminati benda yang tidak diminati Azman lain dalam kumpulan yang sama, (seperti buat cupcake misalnya) akan dipulaukan serta-merta. Akibatnya keinginan untuk berada di dalam kumpulan yang sama akan membuatkan Azman-Azman ini jarang bergerak berseorangan dan jarang memiliki hobi yang dianggap bertentangan dengan konsep 'Azman'.
Antara hobi yang dianggap bertentangan adalah—berseluar skinny jeans, keluar dengan wanita bukan Melayu atau 'terlampau' Melayu, memandu kereta hybrid, memandu kereta stok tanpa pengubahsuaian, membenarkan teman wanita memandu kereta ketika si Azman berada di dalam kereta, meminati Liga Bola kebangsaan, mendengar Lite FM dan stesen radio IKIM, meminati hoki, membela rambut dreadlock dan pergi gig.
6. Bro.
Semua Azman akan dianggap sebagai keluarga, oleh sebab itu panggilan mesra yang diamalkan adalah 'Bro', iaitu singkatan untuk 'Brother' atau Abang/Adik. Suka hormat kepada mereka yang lebih tua dengan mencium tangan serta memanggil dengan gelaran yang bermaksud 'bapa' atau 'abah', walaupun tiada kaitan darah dan tidak pernah berkahwin dengan ibu mereka.
7. Kerja Pangkat Eksekutif.
Pekerjaan yang diidam-idamkan adalah pekerjaan yang berpangkat eksekutif. Terutamanya yang berkaitan dengan projek, tender atau Datuk. Tempat atau cara mendapatkan pekerjaan tersebut tidak relevan, janji line bagus. Kurang meminati kerja-kerja kreatif, lebih tertumpu kepada syarikat-syarikat yang menawarkan komisyen. Syarikat idaman: Kumpulan Naza dan syarikat korporat bapa/bapa saudara. Sebenarnya semua tidak relevan janji ada perkataan 'eksekutif' di kad nama sendiri.
8. Tidak Melayu Hilang Di Dunia.
Akibat dari proses persekolahan yang biasanya bertempat di sekolah-sekolah yang tertutup kepada bangsa lain, sifat ke-Melayuan mereka amat terpuji. Suka merebut peluang perniagaan khusus diberikan kepada bangsa Melayu, yang biasanya direbut untuk diberikan seadil-adilnya kepada golongan bukan Melayu iaitu 100% peluang. Aku puji sifat ini kerana inilah golongan yang akan memperjuangkan keunggulan Melayu di era globalisasi ini. Mungkin.
No comments:
Post a Comment